Najib, Rosmah, Samer masih belum dapat periksa 11,991 barang kemas

Iklan
Rosmah (kiri) dan Najib. - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh masih belum dapat memeriksa 11,991 unit barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 buah kotak di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Barang kemas itu antara pelbagai barang yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018.

Iklan
Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin berkata, mahkamah sebelum ini menetapkan 12 hingga 15 Julai bagi pemeriksaan barang kemas itu oleh pihak ketiga, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan fasa satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pemeriksaan barang kemas itu yang turut ditetapkan pada 2 hingga 5 Ogos ini masih tidak dapat dijalankan kerana fasa satu PPN dan Samer yang kini berada di United Kingdom, masih belum dapat diuruskan untuk masuk ke Malaysia.

Iklan

"Pihak pendakwaan juga mencadangkan pemeriksaan fizikal hanya dijalankan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran untuk melakukan aktiviti berkumpulan di tempat tertutup, setelah mengambil kira perkembangan semasa seperti risiko penyebaran wabak Covid-19," katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin pada Selasa.

Najib, Rosmah dan Global Royalty merupakan pihak ketiga ingin menuntut barang kemas, dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings yang dimiliki Tan Sri Bustari Yusof.

Iklan

Faten Hadni bagaimanapun berkata, risiko penyebaran wabak itu adalah tinggi kerana keadaan bilik kebal BNM yang tertutup dan pemeriksaan barang kemas akan membabitkan ramai orang, bukan sahaja pihak ketiga tetapi pihak polis yang perlu mengawal keselamatan ketika pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata, perkara itu tidak dibantah peguam-peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu dan Samer serta mahkamah menetapkan 9 September ini untuk pengurusan kes.

Sebelum ini, pemeriksaan barang kemas itu tidak dapat dilakukan setelah Samer tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana sempadan negara ditutup susulan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, pada 25 Julai tahun lepas, Najib dan Rosmah telah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Pada tahun 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barangan termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata, 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas pihak berkuasa kerana didakwa terbabit skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Najib, Rosmah akan periksa 11,991 unit barang kemas

Najib, Rosmah dibenar periksa barangan mewah disita selepas 21 Julai