TANGKAK - Seorang warga emas yang menjalani kuarantin kendiri ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kenangan Tun Syed Nasir di sini pada Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan II, Fazli Mat Jinin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.48 pagi.
Katanya, seramai 13 anggota bomba dari BBP Muar bersama satu jentera FRT, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, bomba menemui seorang lelaki berusia 50 tahun tidak sedarkan diri di dalam rumah yang berkunci.
"Kejadian itu disedari oleh anak saudara mangsa yang menghantar makanan di rumah mangsa. Mangsa dipercayai tinggal seorang diri di rumah itu.
"Bagaimanapun, anak saudara mangsa mendapati bekalan makanan yang dihantar sebelum ini tidak diambil. Dia cuba melihat melalui tingkap rumah dan nampak mangsa terbaring tidak sedarkan diri," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Menurut Fazli, anggota bomba yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) membuka pintu rumah terbabit menggunakan kunci yang dibawa anak saudara mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia serta positif Covid-19 oleh pegawai perubatan Hospital Muar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.