BUTTERWORTH - Pasaraya Econsave dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat mereka dengan membantu dua buah pusat jagaan di Permatang Pauh.
Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, program bertujuan meringankan beban golongan yang terjejas semasa Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 yang sedang berkuatkuasa dalam menangani situasi pandemik Covid-19.
Menurutnya, melalui Program Econsave Prihatin: Econsave bersama KPDNHEP Pulau Pinang menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf di Pusat Jagaan Kasih Abadi Pauh Jaya 2, Permatang Pauh dan Pusat Jagaan Permata Kasih, Kubang Semang.
"Sebanyak 50 kampit beras, 50 bungkus gula, biskut dan lain-lain keperluan disumbangkan kepada kedua-dua pusat jagaan terbabit.
"Sumbangan yang dihulurkan diharap dapat membantu meringankan beban pusat jagaan berkenaan di dalam situasi pandemik Covid 19 ketika ini,"katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Penguakuasa KPDNHEP Pulau Pinang, Peter J.Berinus Agang.
Zamzuri memberitahu, pihaknya juga berharap program itu dapat mengeratkan lagi kerjasama antara KPDNHEP dan Pasaraya Econsave bagi membantu mereka yang memerlukan pada masa hadapan.
Sementara itu, jurucakap Kelab Sukan dan Kebajikan KPDNHEP Pulau Pinang berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan keprihatinan pihak swasta menghulurkan bantuan bagi meringankan beban masyarakat yang kurang berkemampuan dan mewujudkan industri yang lebih sensitif dan penyayang.