Jaguh dunia berusia 30 tahun itu melakukan angkatan seberat 224 kilogram untuk mengatasi wakil China, Liao Qiuyin, dan atlet Kazakhstan, Zulfiya Chinshanlo, bagi mengungguli acara itu dengan memecahkan rekod Sukan Olimpik.
Ia juga merupakan pingat emas pertama Filipina dalam sejarah Sukan Olimpik.
Bagaimanapun, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah, di mana dia melalui pelbagai dugaan menjelang Tokyo 2020.
Diaz dan pasukannya terkandas di Malaysia tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Mujur dia mendapat pertolongan daripada komuniti angkat berat di Jasin, Melaka, yang membenarkannya untuk meneruskan latihannya menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.
"Perjalanan saya ke Tokyo 2020 amat mencabar. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana menghantar saya ke Malaysia untuk berlatih dengan baik," katanya dalam sidang media.
"Dia mengirimkan kepada saya ramai orang seperti komuniti angkat berat di Filipina dan Malaysia, yang banyak membantu saya dalam perjalanan ini.
"Saya berterima kasih kepada orang di Jasin, Melaka, yang memberikan saya tempat tinggal dan gimnasium ketika saya berada dalam kegusaran tidak tahu untuk pergi ke mana. Saya mungkin tidak berada di rumah tetapi saya berasakan seperti berada di rumah sewaktu di Malaysia.
"Kepada seluruh rakan saya di Melaka dan semua warga Malaysia yang membantu saya, terima kasih banyak kerana membantu kami. Saya mungkin tidak dapat melaluinya atau memenangi pingat emas ini tanpa anda.
"Terima kasih, Malaysia Boleh," katanya.
Diaz turut berkata bahawa dia bersedia untuk kembali ke Melaka bagi meneruskan latihannya.
"Saya akan kembali ke Melaka. Bagi saya, saya masih perlu meneruskan latihan untuk mengekalkan status saya.
"Kita tidak selalu akan menjadi juara dan masih perlu berlatih dan berusaha keras.
"Saya fikir Melaka adalah tempat terbaik untuk latihan saya sepanjang pandemik ini," katanya lagi.- Sumber Awani