Perlukah model kepimpinan wanita di Malaysia?

Iklan

WANITA dan kepimpinan merupakan satu topik hangat yang sentiasa menjadi bahan perdebatan semasa. Perkara ini tidak boleh disangkal lagi memandangkan kadar tenaga buruh wanita meningkat sebanyak 2.7 ribu orang kepada 6.23 juta orang berbanding Januari 2021 (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, April 2021).

Berdasarkan kepada Statistik Pendidikan Tinggi:Kementerian Pengajian Tinggi, bilangan pensyarah wanita yang bertugas di 20 universiti awam Malaysia sehingga 31 Disember 2020 adalah berjumlah 17,818 termasuk bukan warganegara.

Iklan
Iklan

Dalam sektor bukan pendidikan, hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia melaksanakan pengisian wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah sehingga Oktober 2020.

Persoalannya, perlukah model kepimpinan wanita Malaysia diperkenalkan bagi meningkatkan keyakinan terhadap kemampuan wanita dalam pengurusan utama dan pembuatan keputusan pelbagai sektor?

Iklan

Kajian bertajuk 'Nevertheless, She Persists: Women Leadership in Higher Education' oleh Christine A Fowler (2019) telah mendedahkan bahawa peranan jaringan atau rangkaian merupakan aspek penting dalam kedudukan kepimpinan.

Selain itu, ia juga dapat membantu membina karier serta berfungsi untuk mewujudkan kumpulan yang menyokong sepanjang kerjaya sebagai pemimpin wanita tersebut.

Iklan

Salah satu kajian berkaitan kepimpinan wanita di Sri Lanka oleh penyelidik dari South Eastern University of Sri Lanka, Mohamed Ismail Mohideen Bawa telah mendapati pemimpin wanita mempunyai pengaruh ideal (karisma), motivasi inspirasi dan rangsangan intelektual yang tinggi.

Pemimpin wanita juga dikatakan lebih cenderung kepada kepimpinan transformasional.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menjalankan kajian bertajuk 'Takrif kepimpinan, ciri-ciri kepimpinan dan motivasi untuk memimpin menurut sudut pandang pemimpin wanita akar umbi (2018)' secara ringkasnya menggariskan terdapat tiga faktor yang menyebabkan peserta kajian merasakan diri mereka perlu dan termotivasi untuk menjadi pemimpin.

Faktor-faktor tersebut ialah pengaruh keluarga, sifat semula jadi dan keinginan untuk membantu kaum wanita.

Oleh itu, keperluan untuk mempunyai satu model kepimpinan wanita Malaysia yang komprehensif diperlukan bagi memenuhi Agenda Global Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Agenda SDG 5 telah menggariskan hak kesamarataan antara gender dan pemerkasaan hak golongan wanita.

Aplikasi konsep

Bagi menyahut seruan kerajaan dalam memperkasakan peranan wanita sebagai pemimpin, satu inisiatif telah diambil. Satu penyelidikan berkaitan pembangunan awal Model 3D Pemimpin Akademik Wanita Universiti Awam menggunakan augmented reality sedang giat diusahakan oleh sekumpulan penyelidik UKM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Pembangunan model pemimpin wanita secara model 3 Dimensi (3D) ini boleh dimuat naik ke dalam aplikasi telefon pintar android dan IOS bertujuan untuk mempromosikan kepimpinan transformasi yang didapati diamalkan oleh lapan pemimpin akademik wanita melalui model 3D bagi meningkatkan pemahaman berkaitan model pemimpin wanita dalam menangani cabaran kepimpinan akademik di universiti.

Model ini akan dibangunkan secara berperingkat dan mengikut fasa termasuk peringkat ujilari serta peringkat maklum balas daripada kumpulan berfokus berkaitan keberkesanannya. Keunikan produk ini adalah model 3D pemimpin wanita dapat memberikan gambaran berbentuk visual berkaitan pengalaman pemimpin wanita dalam mengamalkan kepimpinan transformasi di universiti serta cabaran yang dihadapi.

Bagaimanapun, jika ia berkesan, model ini boleh diketengahkan kepada kumpulan sasar dari pelbagai bidang termasuk pihak NGO yang menumpukan aspek pemerkasaan kepimpinan wanita.

Rumusan

Kepimpinan wanita boleh diukur keberkesanannya dari pelbagai aspek. Terkini, terdapat kajian berkaitan kejayaan pemimpin wanita global dalam menangani pandemik Covid-19.

Seorang ahli ekonomi pembangunan di Universiti Liverpool, Supriya Garikipati melaporkan bahawa dapatan kajian menunjukkan pemimpin wanita lebih cepat memberi reaksi dan tegas dalam menghadapi kemungkinan berlaku kematian. Negara yang dipimpin oleh wanita dilihat lebih sistematik dan jauh lebih baik dalam aspek pengendalian Covid-19.

Antara pemimpin wanita yang menjadi pengukuran antaranya adalah Jacinda Ardern dari New Zealand dan Angela Merkel dari Jerman. Seterusnya, kajian berkaitan gender ini merupakan salah satu sumbangan terhadap Agenda Global Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 5) yang perlu diberikan perhatian dalam pemerkasaan wanita berkaitan kepimpinan.

Oleh itu, diharapkan dengan pengenalan model kepimpinan wanita dapat meningkatkan motivasi wanita untuk memimpin serta yakin terhadap kebolehan diri. Dari perspektif pendidikan tinggi, pengenalan model ini merupakan satu usaha untuk meningkatkan pemimpin wanita akademik dalam komposisi pengurusan utama universiti awam di Malaysia

Penulis adalah:

* Salmiwati Othman ialah calon PhD (Pengurusan Pendidikan), Fakulti Pendidikan, UKM dan Timbalan Pendaftar, UiTM

* Dr Aida Hanim A Hamid ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, UKM

* Norasikin Alimom ialah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam