HAMPIR seminggu sukan Olimpik Tokyo 2020 membuka tirainya bermula 23 Julai lalu selepas ditangguhkan setahun. Pelbagai kisah duka, gembira dikongsi oleh atlet dari pelusuk dunia.
Meskipun negara belum menyumbang sebarang pingat ketika ini, namun semangat juang terus menggenggam emas tetap menjadi buruan.
Bagaimanapun, beberapa hari lalu warganet 'tersentak’ apabila sindiran pengguna Twitter Israel, Arsen Ostrovsky membandingkan pen-capaian Malaysia dengan negara haram itu pada hari pertama Olimpik.
Tidak semena-mena ciapan Twitter yang sarkastik itu menjadi tular dan seluruh warganet Malaysia menyerang ruang komen akaun Arsen. Lelaki itu dilihat cuba 'memancing’ warganet apabila memuat naik tangkap layar keputusan terkini kedudukan pingat Olimpik dan mendedahkan Israel sudah berjaya meraih kutipan satu pingat gangsa dalam acara sukan taekwondo wanita bawah 49 kilogram pada hari pertama.
"Oh hi Malaysia, selepas hari pertama Olimpik Tokyo 2020 tengok siapa ke hadapan? Tahniah pasukan Israel,” ciapnya.
Wartawan Israel, Emily Schrader juga mencuri tumpuan apabila dalam nada sindiran mempersoalkan 'siapa yang koyak sekarang’ setelah Malaysia ketinggalan mengutip sebarang pingat. Tidak perlu disuruh, warganet terus membalas serangan dengan penuh geram dan emosi.
Mereka dilihat menggunakan tanda pagar #israelkoyak untuk mengingatkan kembali kekejaman negara zionis itu terhadap Palestin dan membalas ciapan dengan beberapa video kegagalan atlet Israel.
Pada pendapat penulis, perbandingan secara terang-terangan terhadap Malaysia seolah-olah membuktikan pihak mereka kurang senang dengan serangan yang diterima daripada warganet Malaysia sebelum ini.
Bukan sahaja membangkitkan semangat saudara sesama Islam, tindakan memboikot Israel semakin meluas di seluruh dunia termasuk dalam arena sukan berprestij.
Baru-baru ini atlet judo Algeria, Fethi Nourine mengambil keputusan ‘lebih bermaruah’ apabila menarik diri daripada Olimpik Tokyo sebelum bertanding selepas undian meletakkan kemungkinan beliau bertemu pencabar dari Israel.
Nourine dijadual berdepan atlet dari Sudan, Mohamed Abdalrasool pada pusingan pertama dan mungkin bertemu atlet dari Israel, Tohar Butbul di pusingan seterusnya.
Bercakap kepada stesen televisyen Algeria, Nourine menyatakan sokongan politiknya kepada Palestin menyebabkan amat mustahil untuk dia bertanding menentang atlet Israel.
"Kami bekerja keras untuk ke Olimpik. tetapi isu Palestin lebih besar daripada ini semua,” tegasnya.
Difahamkan, ia bukan kali pertama bintang Algeria berusia 30 tahun itu menarik diri daripada pertandingan untuk mengelak bertemu atlet Israel selepas beliau turut mengambil tindakan sama pada kejuaraan dunia 2019 di Tokyo.
Nourine menyifatkan jika bertemu atlet Israel akan 'mengotorkan' tangannya dan keputusan menarik diri adalah tindakan tepat.
Terbaharu, atlet Sudan, Mohamed Abdalrasool juga sanggup menarik diri daripada Olimpik Tokyo berbanding berdepan lawan dari Israel, Tohar Butbul sekali gus muncul atlet judo kedua meninggalkan temasya itu kerana tidak mahu bertemu lawan dari Israel.
Peserta berusia 28 tahun itu tidak muncul ketika perlu bertemu Tohar Butbul dalam kelas 73 kilogram (kg) pada Isnin. Rata-rata warganet memberi kata-kata semangat buat dua atlet judo itu kerana mengambil keputusan tepat tidak berlawan dengan Israel sekali gus tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Walau apa pun tindakan Israel yang sengaja mengundang 'panas’ kepada warganet termasuk para atlet, kita jangan 'koyak’ dengan sindiran mereka, sebaliknya terus beri semangat kepada atlet seperti mana kita perang menentang kekejaman zionis hingga membuatkan perkataan ‘koyak’ trending dan mendapat perhatian media Israel serta disenaraikan di Urban Dictionary.
Jangan pula kita 'koyakkan’ atlet kita dengan memberi kecaman, kritikan dan kata-kata kurang sopan terhadap mereka yang gagal beraksi cemerlang. Lumrah dalam adat pertandingan, ada menang dan ada kalah.
Jika atlet sudah memberi sepenuh usaha tenaga mereka untuk sukan Olimpik ini, kita perlu terus memberi sokongan tanpa pernah jemu. Jangan sesekali perlekehkan atlet kita tetapi teruslah bangkit bersama mereka.
* Syairah Ab Lajis ialah Web Editor Sinar Harian