Antara krisis Covid-19 dan perlembagaan

Iklan
Dewan Rakyat -Foto Bernama

SEPERTI yang dijangka, selepas tujuh bulan tidak 'bergasak’, pembukaan sesi Parlimen pada Isnin panas dan kecoh.

Ada yang terpekik dan yang menjerit, ada yang menepuk meja dan ramai yang saling meninggi suara.

Iklan
Iklan

Sebelum ini rata-rata kebanyakan ahli Parlimen masing-masing mengakui Parlimen perlu dibuka segera untuk menyelamatkan negara daripada Covid-19.

Bagaimanapun, bukan rahsia juga, masing-masing tetap punya agenda sendiri.

Iklan

Dengan perkembangan politik semasa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) seboleh-bolehnya mengelak sebarang pengundian usul, manakala di pihak pembangkang, keabsahan kerajaan menjadi misi utama.

Maka pada hari pertama lagi, kerajaan PN mematikan langkah pembangkang untuk untuk membahaskan usul proklamasi darurat dengan mengumumkan bahawa kabinet pada 21 Julai lalu telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dibuat sebelum ini.

Iklan

Bagaimanapun, pembangkang yang tidak berpuas hati berhujah bahawa berlaku krisis perlembagaan. Ramai yang bangkit mempersoalkan adakah pembatalan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan menyifatkan ia membelakangkan Parlimen.

Yang pasti perdebatan panas mengenai isu pembatalan darurat pada 21 Julai telah berlanjutan selama berjam-jam sehinggalah memasuki hari kedua pada Selasa.

Walaupun perdebatan itu memang diakui penting, namun ia agak merugikan apabila terlalu banyak tenaga dan masa ahli Parlimen dihabiskan untuk isu tersebut.

Sebaliknya, dengan masa hanya enam hari, sidang Parlimen Khas itu sewajarnya dilontarkan dengan idea-idea bernas bagaimana mengurangkan kes Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan lebih penting mengelakkan rakyat terus mengikat perut.

Rakyat kini memerhati dengan penuh rapat setiap tingkah laku Yang Berhormat kita di Parlimen. Jika ramai yang lebih gemar berpolitiking, terjerit dan terpekik daripada mengemukakan isu serta masalah rakyat, ramai yang akan putus asa dengan wakil rakyat kita.