SEJAK beberapa minggu ini, Merak Jalanan adalah antara rakyat Malaysia yang serabut memikirkan peningkatan kes Covid-19 sampai 17,000 kes.
Di sebalik kemelut itu, sejak kelmarin juga, terdapat desas-desus tentang kemungkinan akan ada suntikan vaksin ketiga tidak lama lagi.
Malah, menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pun sudah memaklumkan pada Ahad, yang kumpulan pakar akan berbincang syor dos ketiga atau dipanggil booster shot vaksin Covid-19 minggu ini.
Merak Jalanan perhatikan, di peringkat antarabangsa pun, isu dos ketiga turut menjadi perbincangan hangat.
Ada yang kata perlu sebab nak lawan varian Delta. Apatah lagi sampel-sampel virus yang diambil untuk menghasilkan vaksin sama ada Pfizer hinggalah Sinovac adalah virus awal dari Wuhan, China.
Malah, khabarnya kumpulan penerima vaksin Sinovac antaranya yang memerlukan suntikan ketiga ini sebab terdapat dakwaan keberkesanan vaksin itu merosot selepas enam bulan.
Di Indonesia, disebabkan kes yang tinggi, kerajaan negara itu sebenarnya sudah memulakan dos booster ketiga itu khusus untuk kakitangan barisan frontiners mereka dengan menggunakan vaksin Moderna.
Tetapi ada juga pendapat mengatakan suntikan ketiga tidak perlu dan lebih merisaukan ada pakar mendakwa dos secara berlebihan itu boleh memberi kesan kemudaratan kepada kesihatan.
Walau apa pun keputusan yang dibuat Khairy dan team pakar vaksinasi Malaysia, diharap ia langkah terbaik untuk semua rakyat.
Malah, seboleh-bolehnya jika benar ada keperluan ambil vaksin booster atau penggalak, cukuplah setakat itu.
Janganlah kita ingatkan dua, rupanya tiga dan mungkin juga empat!
Dan dalam kita memikirkan isu dos ketiga itu, Merak Jalanan harapkan kita wajar menyelesaikan dahulu misi dua dos untuk 80 peratus rakyat.