Enam beranak tinggal dalam rumah berlantai pasir, dinding kain

Iklan
Enam beranak terpaksa tinggal di dalam rumah dengan bahagian dapurnya berlantaikan tanah pasir, tiada berdinding dan ditutup dengan kain sahaja.

BATU PAHAT - Enam beranak di Kampung Parit Lubok Utara, Parit Sulung, di sini terpaksa tinggal di dalam rumah dengan sebahagiannya berlantaikan tanah pasir, tiada berdinding dan ditutup dengan kain sahaja.

Norazila Mohd Saleh dan suami, Indra Sahril Mohd Daud masing-masing berusia 42 tahun, sedar keadaan itu berbahaya, namun mereka tidak mampu membaikinya.

Iklan
Iklan

Norazila bekerja di kantin sekolah manakala suaminya pula bekerja di kilang papan terpaksa bercuti ketika ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kos membaiki dapur lebih RM2,000. Saya dan suami tinggal bersama-sama empat anak berusia sembilan, 11, 15 dan 18 tahun yang masih bersekolah. Anak sulung belajar di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah).

Iklan

"Disebabkan sudah tidak bekerja, bahagian dapur tidak dibaiki. Makan pun, apa yang ada sahaja. Kalau ada beras tapi tak ada lauk, saya buat nasi goreng sahaja," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan wakil Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Nor Aisyah A Rahman dan Mastura Onn yang menyampaikan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu di rumahnya, pada Selasa.

Iklan

Norazila berkata, sebelum ini bahagian lain rumah mereka dibaiki sendiri suaminya mengikut kemampuan.

Katanya, mereka tidak pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi sebelum ini pernah cuba memohon bantuan Baitulmal secara dalam talian tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Presiden Permata, Faridah Hamzah berkata, pihaknya sedang mencari kontraktor untuk membaiki kerosakan dapur rumah keluarga Norazila yang tidak selamat dan tidak selesa terutama semasa hujan.

"Mereka juga makan di atas lantai tanah pasir itu. Jadi mana-mana pihak yang mahu membantu keluarga ini amat dialu-alukan," katanya.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh berhubung dengan 03-61278906 atau 013-7065553 (Faridah), sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Permata Baiduri Malaysia 551128630934.

Nor Aisyah (kanan) dan Mastura (tengah) menyampaikan sumbangan daripada Permata kepada Norazila di dapur rumahnya di Kampung Parit Lubok Utara, Parit Sulung, Batu Pahat pada Selasa.