SEMENYIH - Seramai 52 aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peguam tampil memberi sokongan kepada calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul pada PRK DUN Semenyih.
Peguam, M Visvanathan berkata, kesemua aktivis menyokong Nik Aziz kerana percaya beliau seorang pemimpin yang berani, lantang bersuara, mesra rakyat dan jujur.
"Daripada empat orang calon yang bertanding pada PRK DUN Semenyih, hanya Nik Aziz yang berani mengisytiharkan harta," katanya.
Visvanathan berkata, beliau juga bosan dengan cerita dan alasan PH.
"Sebelum 9 Mei tahun lalu.. banyak cerita mengenai gaji minima pekerja adalah RM 1,500, mereka tekad dan nekad untuk memperjuangkan jumlah gaji minima itu.
"Sudah ambil alih tampuk kuasa dan menjadi menteri, mereka memaklumkan jumlah gaji minima itu tidak jadi, turun jadi RM1,100. Cerita dahulu lain, cerita sekarang lain," katanya.
Sementara itu, Nik Aziz berkata, beliau terharu dan berterima kasih terhadap sokongan aktivis tersebut.
"Tiada tauke dan orang korporat yang bersama dalam perjuangan saya, tetapi yang memberi sokongan adalah kawan-kawan aktivis NGO dan peguam," katanya.
Beliau berkata, menteri dan pimpinan parti boleh datang ke Semenyih.
"Setiap kali mereka datang, kita dapat jalan raya baharu, malah pokok juga ditebang.
"Namun selepas 2 Mac ini, menteri akan balik ke pejabat masing-masing, akhirnya kami yang akan merasai baik dan buruknya kawasan ini," katanya.