NAK salahkan ahli Parlimen yang lantang dan bising tak boleh juga. Mereka mewakili orang yang memilih mereka. Mereka kena suarakan pandangan rakyat.
Mereka tak boleh duduk diam. Terutamanya dalam keadaan susah seperti sekarang. Rakyat yang mereka wakili nak tahu apa rancangan dan bantuan untuk mereka.
Tapi kalau sidang Parlimen hanya untuk beberapa hari dan semuanya dibuat ikut skrip kerajaan yang memerintah, manalah ahli Parlimen puas hati.
Awang percaya apabila Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-raja Melayu meminta Parlimen bersidang segera, baginda tentulah mahukan sidang yang dapat memuaskan hati rakyat.
Dalam masa yang terbatas, dengan begitu banyak masalah rakyat, tentulah keadaan jadi kecoh. Setiap ahli Parlimen mahu menyuarakan pandangan dan mahu bertanya soalan.
Nampaknya sekali lagi pandangan rakyat tertumpu pada Speaker Dewan Rakyat. Beliaulah yang sepatutnya memastikan Parlimen berjalan lancar, semua peraturan diikut dan ahli Parlimen bebas bersuara dengan waktu yang secukupnya.
Mungkin juga banyak pihak sudah buat keputusan bahawa mereka tidak akan mendapat ‘keadilan’ dari Speaker.
Jadi keadaan haru biru akan berterusan sewaktu sidang kali ini. Awang rasa sedih sebab sidang pendek ini tidak dapat menjawab semua soalan rakyat.
Awang lebih sedih apabila ada pandangan mengatakan sidang ke-14 ini tidak lebih ‘sembang-sembang di kopitiam’.