Lagi hutan simpan diceroboh

Iklan
Kerja-kerja meratakan tanah di Hutan Simpan Kekal Bukit Payung sedang dijalankan oleh seorang pekerja sebelum diserbu oleh pasukan JPNK pada Ahad. Gambar kecil: Saarin Osman

KUBANG PASU - Penduduk yang tinggal berdekatan Hutan Simpan Kekal Bukit Payung, Mukim Malau di sini mendakwa kegiatan menanam getah di kawasan hutan simpan terbabit telah bermula sejak 2008.

Seorang penduduk, Azizan Ismail, 55, memberitahu, penduduk kampung mula meneroka kawasan terbabit setelah aktiviti pembalakan ditamatkan pada tahun 2008.

Iklan
Iklan

"Habis sahaja balak pada tahun itu, orang kampung sudah masuk meneroka untuk tanam getah bagi menyara hidup mereka.

"Saya rasa lebih 30 orang penduduk juga terlibat mengusahakan tanaman getah di situ," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Iklan
Antara kawasan hutan simpan kekal yang telah diratakan.

Menurutnya, setelah kegiatan itu semakin berleluasa, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pernah mengeluarkan amaran agar penduduk menghentikan aktiviti pencerobohan di kawasan hutan berkenaan.

"Ada penduduk yang akur tetapi tidak kurang juga yang ingkar dan masih meneruskan penanaman getah sehingga sekarang," ujarnya.

Iklan

Jelas Azizan, dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, dia menyedari ada kerja-kerja meratakan tanah sedang berlaku di bukit terbabit.

"Tetapi saya tidak ambil kisah sangat sebab itu perkara biasa bagi semua penduduk di sini sehinggalah saya ada mendengar JPNK membuat tangkapan seorang lelaki berkaitan kerja-kerja terbabit.

"Ada beberapa jalan berdekatan sini yang boleh sampai ke kaki bukit itu tetapi selalunya hanya orang kampung di sini sahaja yang tahu," katanya.

Salah satu laluan masuk ke Hutan Simpan Kekal Bukit Payung yang sering digunakan oleh penduduk.

Seorang lagi penduduk, Sahabudin Senawi, 53, menjelaskan tanaman di situ tidak melibatkan tanaman berkomersial tinggi seperti durian musang king atau lain-lain.

"Mereka tanam getah pun saya rasa dah masuk dua kali tanam semula, memang dah lama tapi tidak silap saya dulu di situ adalah tanah rizab kerajaan dan sejak bila digazetkan sebagai hutan simpan saya tak pasti pula," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Prihatin Kubang Pasu (Prihatin), Saarin Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menggunakan budi bicara untuk terus membenarkan orang kampung menanam getah di kawasan terbabit.

"Mungkin kerajaan dapat memberikan status hak milik sementara (Tol) kepada orang kampung yang telah lama mengusahakan tanaman di situ.

"Dalam keadaan pandemik sekarang pendapatan semua orang terjejas dan mungkin segelintir penduduk di sini hanya bergantung dengan hasil tanaman getah," katanya.

Saarin juga mencadangkan agar JPNK menjalankan tanaman semula pokok balak di kawasan hutan yang masih belum diteroka oleh penduduk.