SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Saksi ke 17 Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, yakin lima hingga enam orang seolah- olah sedang memukul dan memijak seseorang di dalam formasi bulatan.
Penganggur, Nasaruddin Abdullah berkata, ketika itu dia berada di hadapan persimpangan jalan berhadapan Kuil Sri Maha Mariamman.
"Saya yakin saya nampak mereka seolah-olah memukul dengan cara menendang dan menumbuk serta menumbuk ke arah sesuatu. Namun saya tidak nampak apa mereka pukul," katanya.
Menurutnya, sekumpulan individu tersebut turut mengeluarkan kata-kata kesat.
"Mereka kata dalam bahasa Tamil kepada seorang Melayu:"Berani korang masuk kuil India. B*** korang, p*****," katanya.
Katanya, selepas itu dia terdengar orang menjerit polis berulang kali.
"Kumpulan individu dalam formasi bulatan itu kemudiannya berlari ke arah kuil.
"Ketika mencari rakan saya, saya nampak ada lapan sehingga 10 orang mengusung seseorang yang memakai seluar celoreng bomba," katanya pada pemeriksaan utama oleh Pegawai Pengendali Inkues Hamdan Hamzah hari ini.
Dalam pada itu, Nasaruddin beranggapan kata-kata kesat itu ditujukan kepada orang Melayu.
"Setahu saya yang memasuki kuil itu orang Melayu, jadi saya buat andaian mereka tuju makian itu kepada orang Melayu," katanya dalam pemeriksaan balas oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor.
Terdahulu, dia tiba bersama rakannya, Kartik, di Kuil Sri Maha Mariamman bersama rakannya untuk melihat keadaan insiden itu.
"Saya nampak Fire Rescue Tender (FRT) berundur dan sekitar 30-40 orang India telah mengikutinya di hadapan dan sisi kiri kanan kenderaan itu," katanya.
Menurutnya, dia juga nampak mereka melontar topi keledar, kayu dan botol.