Takiyuddin ganti Ismail Sabri beri penerangan Pelaksanaan Darurat

Iklan
Takiyuddin Hassan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat penerangan mengenai Pelaksanaan Darurat yang dijadual berlangsung pada Isnin ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Ahli Yang Berhormat, saya ingin memaklumkan kertas maklumat yang telah diedarkan di atas meja Ahli Berhormat menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) akan memberikan penerangan berkenaan Pelaksanaan Darurat pada Isnin 2 Ogos," katanya.

Mohd Rashid ketika membuat pemakluman itu bagaimanapun tidak memberi penjelasan berhubung perubahan tersebut.

Iklan

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 hari yang diedar pada Sabtu, penerangan mengenai Pelaksanaan akan dibuat Ismail yang juga Menteri Pertahanan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohd Rashid turut menyeru semua ahli Parlimen agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) persidangan Parlimen.

Iklan

Jelasnya, ini kerana pegawai penguat kuasa berada di sekitar Kompleks Parlimen sepanjang mesyuarat khas itu berlangsung.