KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak menyalahgunakan lambang negeri atau Jata Kerajaan Pahang sewenang-wenangnya.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, aktiviti penyalahgunaan lambang kerajaan Pahang perlu dihentikan segera.
"Perbuatan ini perlu dihentikan serta-merta oleh semua pihak tidak berkaitan mengikut enakmen seperti Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No. 18 Tahun 2017].
"Enakmen ini memperuntukkan larangan penggunaan tidak wajar lambang; gelaran atau anugerah Negeri Pahang termasuk Jata Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang; Jata Diraja Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Jata Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menjelaskan, Subseksyen 3(1) Enakmen No. 18 Tahun 2017 memperuntukkan mana-mana undang-undang bertulis, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Katanya, enakmen terbabit menerangkan penggunaan sebarang lambang, gelaran atau anugerah, atau replika mengenainya untuk perdagangan, perniagaan, pekerjaan, profesion atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian.
"Selain itu, membuat, menempah, menghasilkan dalam apa-apa bentuk atau cara atau menggunakan atau terus menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten atau apa-apa cap dagangan atau reka bentuk.
"Bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual apa-apa lambang, gelaran atau anugerah serta mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada kenderaan," katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, mana-mana individu yang melanggar larangan penggunaan tidak wajar lambang Negeri Payang boleh didakwa dan dikenakan hukuman.
Katanya, pendakwaan dan hukuman boleh dilakukan mengikut sub seksyen 3(2) Enakmen No. 18 Tahun 2017 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.