KIEV- UKRAINE. Kerajaan Ukraine, hari ini mengehadkan kemasukan lelaki warga Rusia berusia 16 hingga 60 tahun ke negara itu selepas undang-undang tentera dilaksanakan di wilayah sempadan, menurut Perkhidmatan Sempadan Negeri.
"Perjalanan mereka akan disekat kecuali untuk kes kemanusiaan," kata ketua agensi itu, Petro Tsyhykal.
Rabu lalu, Kiev menguatkuasakan undang-undang tentera selama 30 hari di 10 wilayah bersempadan Rusia, Laut Hitam dan Laut Azov selepas insiden tiga kapal tentera laut Ukraine ditembak dan dirampas Rusia pada Ahad lalu.
Langkah itu dibuat selepas Presiden Petro Poroshenko memberi amaran tentang pembentukan tentera Moscow berhampiran sempadan Kiev yang menyaksikan peningkatan krisis antara bekas negara jiran Kesatuan Soviet terbabit.
Selain merampas tiga kapal, Rusia turut menahan 24 kelasi Ukraine.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Aider Azamatov memaklumkan beberapa kru kapal Ukraine yang ditahan kerana memasuki sempadan Rusia di Semenanjung Crimea secara haram pada Ahad lalu telah dihantar ke penjara Lefortovo di Moscow.
Awal minggu lalu, sebuah mahkamah di Crimea mengarahkan kesemua kelasi terbabit ditahan selama dua bulan sehingga 25 Januari depan.
Sehingga kini, Ukraine dan Rusia saling menuding jari menyalahkan antara satu lain yang mana Kiev mendakwa Kremlin bertindak menyalahi undang-undang sedangkan Moscow menegaskan tindakan itu dibuat berlandaskan undang-undang domestik dan antarabangsa. - Agensi