SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan lebih RM1.7 juta melibatkan bantuan tunai 'one-off', diskaun dan rebat kepada penggiat industri pelancongan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi yang dihadapi penggiat industri berkenaan.
"Kekurangan atau hampir tiada pelancong mahupun pengunjung, ditambah sekatan pergerakan merentas daerah dan negeri, kekangan kewangan bagi menampung kos operasi seperti cukai, utiliti, penyelenggaraan, gaji, promosi dan pemasaran semestinya menjadi cabaran terbesar untuk sektor ini.
"Oleh itu, kita bersetuju menyalurkan bantuan tunai 'one-off' kepada persatuan pelancongan peringkat negeri sebanyak RM2,000 yang mana ia akan memanfaatkan hampir 20 persatuan yang berdaftar di negeri ini dengan jumlah peruntukan RM40,000," katanya selepas selesai mempengerusikan Pasca Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Aminuddin berkata, bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM2,000 turut diberikan kepada pengurusan rumah inap atau homestay yang masih aktif dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melibatkan tujuh pengurusan rumah inap dengan jumlah peruntukan RM14,000.
"Selain itu, bantuan tunai 'one-off' kepada pemandu pelancong Negeri Sembilan yang berdaftar dengan pihak MOTAC sebanyak RM250 yang akan memanfaatkan 91 pemandu pelancong di bawah Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Sembilan (NSTGA) melibatkan peruntukan RM22,750.
"Diskaun atau rebat cukai taksiran bagi segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus bagi penggal kedua tahun ini melibatkan peruntukan lebih RM1.51 juta," katanya.
Menurut Aminuddin, pihaknya juga bersetuju memberikan diskaun atau rebat bagi Fi atau lesen perniagaan segmen penginapan dan hotel sebanyak 50 peratus bagi tahun 2022 membabitkan peruntukan kerajaan negeri lebih RM123,000.
"Kedua-dua diskaun dan rebat ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 150 buah hotel dan penginapan di seluruh Negeri Sembilan.
"Semua bantuan tunai 'one-off' ini akan diselaraskan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS), manakala diskaun dan rebat cukai taksiran serta fi lesen perniagaan akan diselaraskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing," katanya.