Lelaki cedera ditimpa pokok kelapa

Iklan
Anggota bomba memasang 'cervical collar' pada mangsa yang didapati mengalami kecederaan di kepala akibat dihempap pelepah pokok kelapa di Kuala Kurau. Foto: Ihsan Bomba Perak.

BAGAN SERAI - Seorang lelaki cedera selepas dihempap pokok kelapa dalam kejadian di Kampung Parit Haji Napis, Kuala Kurau di sini, pada Rabu.

Difahamkan dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 55 tahun dipercayai tidak sempat mengelak ketika berada berhampiran dengan kerja-kerja menebang pokok berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau, Muhamad Irham Mohd Zain berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.17 pagi.

"Setibanya di lokasi, mangsa yang berada di bawah pelepah pokok kelapa cedera di bahagian kepala.

Iklan

"Anggota memberi rawatan awal dan memasang 'cervical collar' kepada mangsa selain memotong pelepah kelapa tersebut untuk mengeluarkannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada kakitangan kesihatan dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Operasi diteruskan dengan mengalih batang pokok kelapa yang menghalang laluan kenderaan dan operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi," katanya.