Annuar Musa pertahan pembatalan Ordinan Darurat

Iklan
Tan Sri Annuar Musa

SHAH ALAM - Seorang menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan keputusan pembatalan enam Ordinan Darurat lebih awal daripada tarikh tamat Proklamasi Darurat pada 1 Ogos.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, proses pembatalan Ordinan Darurat yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah mengikut proses teknikaliti yang berlandaskan aspek perundangan sewajarnya.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, terdapat dua cara pembatalan ordinan darurat berkenaan iaitu kerajaan sendiri membatalkannya dengan keputusan itu perlu dipersetujui Jemaah Menteri, diangkat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda.

"Cara kedua pula adalah kerajaan membawa usul pembatalan ordinan darurat berkenaan ke Parlimen untuk dibahaskan yang dipanggil proses 'amendment' atau dipakai terus menjadi sebahagian rang undang-undang baharu bagi tempoh enam bulan berikutnya.

Iklan

"Apa yang berlaku di Parlimen ketika ini adalah kerajaan memaklumkan hasrat untuk tidak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon Proklamasi Darurat baharu dengan kesemua ordinan darurat hendak dibatalkan.

"Justeru, proses teknikaliti pembatalan darurat perlu bermula dengan keputusan Jemaah Menteri, selepas itu perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan perkara ini sudah pun dilaksanakan. Seterusnya tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda untuk membatalkannya atau tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Pada Isnin, kerajaan PN memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan beberapa ordinan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antaranya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu); Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021.

Selain itu, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021, turut dilaksana dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang, yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Berikutan itu, Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun menetapkan Takiyuddin untuk memberi penjelasan berhubung status Proklamasi Darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat pada 26 Julai, pada Isnin minggu hadapan.

Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh daripada Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak mahu memperkenankan permohonan pembatalan enam ordinan darurat yang dibuat sejak 14 Mac lalu, maka kesemua ordinan berkenaan sebenarnya masih terpakai secara automatik daripada tarikh 21 Julai lalu sehingga tempoh enam bulan selepas tarikh proklamasi tamat iaitu 1 Ogos.

Tambah beliau, hal ini kerana mana-mana ordinan yang dibuat di bawah kaedah darurat, sekiranya tidak dibatalkan kerajaan, masih boleh berkuat kuasa dalam tempoh enam bulan selepas tempoh proklamasi darurat tamat.

Beliau turut menegaskan proses mewartakan pembatalan ordinan darurat bukan boleh dibuat dalam tempoh 24 jam dan memberi jaminan kerajaan sedang berusaha menyempurnakan proses itu secepat mungkin.

"Selepas keputusan Jemaah Menteri, Peguam Negara kemudiannya kena buat draf pewartaan pembatalan ordinan darurat.

"Selepas itu, draf itu akan diangkat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda.

"Apabila diperkenankan, draf itu perlu diwartakan kepada umum. Jadi proses pembatalan ordinan darurat bukan boleh dibuat dalam tempoh 24 jam. Proses itu perlu mengambil masa dan ia sedang berjalan," katanya.

Merujuk bantahan sebilangan besar ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa kerajaan tidak memberitahu hasrat membatalkan darurat, Annuar turut menegaskan proklamasi darurat sama sekali tidak terbatal sehingga tarikh penamatan yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong iaitu 1 Ogos hadapan.

Ujarnya, kerajaan sebenarnya tidak perlu mengemukakan notis atau mendapatkan pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan Proklamasi Darurat kerana proklamasi itu sendiri sudah mempunyai tarikh luput ditetapkan.

"Maka sehingga hari proklamasi itu masih berkuat kuasa, kita masih berdada dalam perintah darurat.

"Tidak perlu ada notis untuk menamatkan Proklamasi Darurat kerana sifat proklamasi itu sendiri sudah mempunyai tarikh tutup.

"Kalau kerajaan mahu sambung darurat, kerajaan perlu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mewartakan Proklamasi Darurat baharu. Jadi bila kerajaan berhasrat tidak mahu sambung, kerajaan buat ketetapan umum di Parlimen untuk tidak berhasrat menasihati Seri Paduka Baginda bagi tujuan demikian," katanya.