SHAH ALAM - Bank Rakyat mengagihkan sebanyak 6,400 pek daging korban kepada golongan asnaf dan petugas barisan hadapan melalui program Jalinan Aidiladha di tujuh lokasi berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, sebanyak 102 ekor lembu dan 242 ekor kambing bagi ibadah korban pada tahun ini disumbangkan oleh pelanggan Bank Rakyat melalui langganan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat yang turut menguruskan ibadah korban tersebut.
Menurutnya, daging korban itu telah diserahkan kepada Masjid Al-Akram Datuk Keramat, Kuala Lumpur; Masjid Mohamad Iskandar Wan Tempawan Alor Setar, Kedah dan Masjid Ar Rahman Kampung Tun Razak Bukit Katil, Melaka.
"Turut menerima sumbangan daging korban itu ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan Politeknik Sulran Azlan Shah, Perak serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 Serdang.
"Kesemua sumbangan daging korban itu telah diadakan bermula 26 Julai hingga 1 Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syed Abdul Aziz berkata, akaun Simpanan-i Tabung Qurban itu membantu pelanggan untuk melakukan simpanan lebih sistematik selain menyediakan perkhidmatan ibadah korban yang lebih terjamin dan selamat.
"Pelanggan bebas memilih untuk melaksanakan simpanan secara bulanan atau sekali gus yang memudahkan perancangan ibadah korban.
"Bank Rakyat juga mengambil pendekatan norma baharu dengan melantik syarikat penyembelihan yang melaksanakan penyembelihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata, daging korban tersebut akan dibungkus melalui proses pembungkusan vakum sebelum diagihkan agar daging tersebut sentiasa segar dan tahan lama.
"Penerima daging korban ini terdiri daripada 50 asnaf yang dikenal pasti oleh masjid dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat. Bagi meringankan beban ketika mengharungi pandemik ini, mereka juga menerima sumbangan makanan keperluan asas dan wang tunai RM150 setiap seorang,” ujarnya.
Syed Abdul Aziz berkata, Bank Rakyat turut menyumbang sebanyak RM5,000 kepada masjid dan IPT yang menjayakan program Jalinan Aidiladha tersebut.
"Selain daging korban, Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat turut menyumbangkan kerusi roda kepada para petugas bagi memudahkan urusan pesakit Covid-19 yang dikuarantin di MAEPS,” katanya.