TOKYO - Perenang kebangsaan Phee Jinq En menutup kempen Olimpik Tokyonya di tempat kelapan pada Saringan Satu acara 200 meter (m) kuak dada wanita, pada Rabu.
Pada acara berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu, Jinq En menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:32.57 saat (s) sekali gus gagal memperbaiki catatan terbaiknya 2:32.38s, ketika beliau memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Perenang Republik Czech Kristyna Horska, muncul perenang terpantas dalam Saringan Satu dengan mencatatkan 2:25.03s, manakala perenang Ireland Mona McSharry kedua (2:25.08s) dan ketiga Kotryna Teterevkova dari Lithuania (2:26.82s).
Jinq En yang berusia 23 tahun itu, juga gagal untuk layak ke pusingan berikutnya pada penampilan keduanya di Olimpik selepas menduduki tempat terakhir daripada 31 perenang keseluruhan di Olimpik Rio 2016.
Hanya 16 perenang terbaik melangkah ke separuh akhir yang akan berlangsung Khamis (29 Julai).
Bekas perenang negara, Siow Yi Ting masih memegang rekod 200m kuak dada kebangsaan berusia 12 tahun, iaitu 2:27.80 yang dilakukannya di Beijing 2008.
Walaupun prestasi di bawah par, Jinq En pada acara 200m itu, beliau boleh berbangga dengan pencapaiannya memecahkan rekod kebangsaan miliknya bagi acara 100m kuak dada wanita, yang dilakukannya pada Ahad (25 Julai).
Jinq En mencatatkan 1:08.40s yang memadamkan rekodnya yang terdahulu 1:08.50s yang dilakukannya ketika memenangi pingat emas Sukan SEA di Manila.
Pada perlumbaan Saringan Dua itu, Jinq En berada di tempat kedua di belakang Andrea Podmanikova dari Slovakia (1:08.36). Tilali Scanlan dari American Samoa di tempat ketiga (1:10.01).
Namun Jinq En hanya berada pada kedudukan ke-29 daripada 43 perenang keseluruhan, dan gagal menempatkan dalam kalangan 16 perenang untuk layak ke separuh akhir. - Bernama