Isu Icerd sudah pun selesai

Iklan
Izani
TANAH MERAH- Perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) pada 8 Disember ini tidak perlu diteruskan kerana isu berkenaan sudah selesai.

Aktivis masyarakat, Izani Zakaria berkata, himpunan itu hanya merugikan dan lebih baik mereka yang terlibat pergi ke masjid dan lakukan kenduri kesyukuran atau doa selamat.

"Pihak penganjur juga perlu berfikir sekiranya perhimpunan diteruskan berkemungkinan akan berlaku perkara yang mengudang situasi kekacauan yang boleh memburukkan keadaan.

"Mungkin ia juga akan menimbulkan sesuatu perkara yang tidak diingini dari provokasi yang juga mewujudkan huru hara,” katanya.

Beliau berkata, bila adanya provokasi, ia akan memudaratkan negara.

Isu ini turut mendapat perhatian Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang turut menasihatkan supaya perhimpunan membantah ICERD ini dibatalkan.

Beliau berkata, isu itu selesai selepas kerajaan PH mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD dan seharusnya penganjur perhimpunan berkaitan membatalkannya.

Menurutnya, perhimpunan itu nanti dibimbangi akan menyebabkan berlakunya permasalahan lain membabitkan kaum, tambahan pula baharu berlakunya kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor.