Ibu pukul anak didenda RM1,700

Iklan

JOHOR BAHRU - Seorang suri rumah didenda RM1,700 selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas anak perempuannya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mahani Paimin, 35 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mahani didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan ke atas anaknya yang berusia 12 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira 11 pagi, di sebuah rumah di Jalan Mawar 49, Taman Mawar, Pasir Gudang pada 17 Februari lalu.

Iklan

Dalam pendakwaannya, Siti Hajar turut berpesan kepada tertuduh untuk menjadikan hukuman itu sebagai teladan dan tidak mengulanginya lagi.

"Saya harap hukuman ini dijadikan pengajaran dan kamu perlu insaf, seharusnya anak ini dilindungi bukan didera atau dipukul,” kata Siti Hajar selepas menjatuhkan hukum.

Iklan

Mahani didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dengan denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Muhammad Dan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, Mahani memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman paling minima atas kesalahan itu kerana dirinya tidak bekerja dan perlu menyara dua orang anaknya.