HULU SELANGOR - Penjaja yang kisahnya tular dikompaun oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada Selasa kerana menjaja minuman dan makanan berhampiran stesen minyak di Bandar Utama Batang Kali di sini rupa-rupanya mengupah warga asing untuk menggantikan tempatnya berniaga di tapak tersebut.
MDHS dalam satu kenyataan memaklumkan hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa mendapati lelaki berkenaan mengupah warga asing untuk menjalankan aktiviti menjaja di tapak tersebut dan beliau tidak berada di lokasi sepanjang aktiviti menjaja itu dijalankan.
Menurut kenyataan tersebut, anggota penguat kuasa dapat mengesan perkara berkenaan apabila pekerja tersebut gagal menunjukkan kad pengenalan diri setiap kali pemeriksaan dibuat selain dia bertutur dalam bahasa Indonesia.
Tambahnya, setiap kali pemeriksaan dijalankan hanya pekerja warga asing yang digajikan itu yang selalu berada di tapak dan pemilik perniagaan gagal hadir semasa operasi dijalankan.
"Anggota penguat kuasa MDHS sebelum ini pernah memberikan amaran lisan kepada penjaja berkenaan pada Ogos tahun lalu kerana berniaga di luar kawasan yang dilesenkan.
"Sebulan kemudian, peniaga tersebut didapati masih berniaga di tempat berkenaan dan tindakan menarik semula lesen penjaja dilakukan oleh MDHS apabila mendapati pemilik lesen membiarkan lesen digunakan oleh warga asing untuk menjaja.
"Situasi ini menyebabkan tindakan pembatalan lesen dibuat oleh jabatan pada bulan Februari tahun ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan semula di kawasan tersebut pada Selasa dan mendapati penjaja yang sama masih berada di situ.
Bagaimanapun, anggota operasi memberi peluang dan masa hampir 30 minit kepada penjaja terbabit untuk berpindah ke tapak pasar pagi, tetapi penjaja berkenaan tidak berpindah.
"Setelah itu, kompaun dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil 3 Penjaja (MDHS) 2007 kerana menjaja tanpa lesen.
"MDHS akan terus mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan perniagaan yang ditetapkan," katanya.