DALAM bukunya Frankly Speaking, Tun Musa Hitam menceritakan bagaimana UMNO mengendalikan"sumbangan politik” (political donation) pada zaman Tun Abdul Razak.
Apabila menjelang pilihan raya banyak pihak yang ingin memberikan sumbangan kewangan. Musa melihat sendiri cara Tun Dr Ismail, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri mengendalikan sumbangan daripada individu atau syarikat.
Dr Ismail memang terkenal kerana disiplin dan integritinya. Beliau tidak mahu sumbangan itu disampaikan secara sembunyi-sembunyi. Beliau memastikan ada saksi apabila sumbangan itu disampaikan.
Musa mengakui ada penyumbang yang tidak senang dengan cara Dr Ismail. Dr Ismail akan bertanya mengapa mereka ingin menyumbang. Dr Ismail mengingatkan penyumbang bahawa kerajaan tidak akan membalas budi dengan memberikan kontrak, lesen atau sebagainya.
Wang yang disumbangkan direkodkan dengan teratur. Menurut Musa lagi, Tun Hussein Onn lebih cerewet dalam soal ini, setiap sen dikira.
Menjelang tahun 1980-an, keadaannya sudah berubah. UMNO mulai merasakan sumbangan daripada individu atau syarikat sahaja tidak memadai.
Dalam buku The Riddle of Malaysian Capitalism: Rent-Seekers or Real Capitalists tulisan Peter Searle didedahkan bagaimana UMNO belajar menggunakan syarikat proxy untuk tujuan itu. UMNO mulai terlibat dengan perniagaan secara besar-besaran. UMNO kemudiannya mempunyai rangkaian syarikat dalam semua sektor perniagaan, termasuk prasarana, hartanah, logistik, media, perbankan dan lain-lain.
Buku ini mendedahkan bagaimana bisnes, politik dan negara (state) memulakan satu bentuk kapitalisme baharu. Pada waktu yang sama turut memberikan kekayaan kepada mereka yang diamanahkan menjadi proxy.
Maka itu sukar untuk dibezakan mana satu ahli perniagaan tulen yang bermula dari bawah dengan keringat dan air mata dan yang mana satu menjadi ahli perniagaan pasang siap akibat amalan kronisme.
Amalan ini berterusan dari zaman Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) hinggalah ke zaman Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bukan rahsia lagi, setiap perdana menteri dan menteri kewangan membina kelompok ahli perniagaan mereka sendiri. Apabila mereka tumbang atau tidak berkuasa lagi kelompok baharu akan muncul.
Tun Mahathir punya rangkaian ahli perniagaannya sendiri, begitu juga Tun Daim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pak Lah yang didalangi oleh"Budak-Budak Tingkat Empat” punya rangkaian ahli perniagaan, begitu juga kemudiannya Najib.
Tidak banyak ahli perniagaan Melayu yang bertahan dalam semua era. Tetapi banyak tycoon kaum Cina yang dapat berbuat demikian. Ahli perniagaan Melayu bagaikan sekali air bah sekali pantai berubah. Sayang sekali, tidak ada kelestarian dalam konteks survival peniaga besar Melayu.
Amalan sistem naungan atau patronage dan sumbangan politik ini mencapai kemuncaknya pada era Najib. Mungkin Najib tidak berupaya mendapatkan semua sumber kewangan UMNO dari era Dr Mahathir dan Pak Lah. Maka itu beliau harus mendapatkan sumber yang lain.
Mungkin skandal 1MDB pada mulanya perancangan untuk memastikan satu lagi sumber kewangan melalui dividen bagi partinya tetapi kesilapan beliau ialah mempercayai pemain utama dalam syarikat itu.
Kita tahu sumbangan politik tidak boleh dielakkan. Tidak ada negara yang mengharamkan sumbangan politik. Tetapi kaedahnya harus betul. Mungkin pendekatan Tun Dr Ismail itu satu cara memastikan ketelusan.
Hakikatnya yang membuat masalah ialah orang politik. Mereka ibarat diberikan betis mahukan paha. Banyak keputusan silap mereka lakukan hingga berlaku pelbagai peristiwa dan skandal kewangan berpunca daripada usaha mendapatkan dana politik atau membantu mereka yang memberikan dana politik.
Kesemuanya membabitkan soal tadbir urus dan govenans yang meragukan. Semuanya muncul akibat pertimbangan politik dan bukan sekadar perniagaan.
Pada tahun 1980-an rakyat dikejutkan dengan pelbagai skandal seperti Maminco, Perwaja Steel, Bumiputera Malaysia Finance (BMF), deposit koperasi di bawah kawalan MCA dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Namun demikian tidak ada skandal kewangan yang memberikan nama yang sedemikian buruk kepada Malaysia melainkan 1MDB. Ia juga dianggap skandal kewangan yang terbesar di dunia.
Malaysia telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang ekonomi. Malaysia telah mengubah dirinya daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara dagang dan industri yang luar biasa.
Kemakmuran Malaysia melimpah ruah. Begitu yakin Malaysia bahawa impian menjadi negara maju pada tahun 2020 boleh menjadi kenyataan. Pertumbuhan ekonomi pada 1990-an berada pada paras melebihi 7 peratus setahun.
Tetapi kita tahu kemakmuran selalunya tidak menjamin keadilan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang direncanakan untuk membantu Bumiputera tidak memanfaatkan semua orang. Hanya syarikat dan individu yang terpilih mendapat habuan lumayan. Rata-rata bumiputera masih dalam keadaan miskin.
Sekiranya DEB terlaksana tanpa ketirisan tidak ada sebab bumiputera begitu ramai berada pada paras kemiskinan (dikenal sebagai B40 sekarang).
Begitu banyak kementerian, agensi dan jabatan yang diamanahkan membantu bumiputera. Dalam situasi seperti sekarang, keadaan itu semakin menonjol. Pandemik Covid-19 memberikan kesan paling buruk kepada mereka yang berpendapatan rendah.
Apakah punca kegagalan kita menangani isu pokok bumiputera yakni kemiskinan? Rasuah!
*Tan Sri Johan Jaaffar salah seorang anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Ogos 2015. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).