Enam lori balak diarah berpatah balik

Iklan
Grippin (kanan) memeriksa lori balak pada operasi semakan pematuhan muatan balak. Foto: Iihsan JPNP

KUANTAN - Enam lori yang membawa muatan kayu balak diarah berpatah balik ke pusat pengumpulan bagi menyusun semula balak yang dibawa mengikut garis panduan ditetapkan.

Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Dr Grippin Akeng berkata, arahan itu diberikan selepas mengesan lori terbabit membawa muatan balak secara merbahaya dan gagal patuhi garis panduan ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, garis panduan berkaitan muatan kayu balak setiap lori balak telah disediakan membabitkan saiz panjang dan ketinggian serta susunan.

"Kita telah jalankan operasi semakan pematuhan muatan balak selama dua hari di daerah Rompin dan Jerantut. Sebanyak 35 lori balak telah dijalankan pemeriksaan dan enam daripada jumlah itu tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.

Iklan

"Jadi, kita arahkan enam lori balak ini untuk berpatah balik ke pusat pengumpulan bagi membolehkan mereka menyusun semula hasil balak terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Operasi semakan pematuhan muatan balak itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad.

Iklan

Grippin menjelaskan, peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk keselamatan bukan sahaja kepada pemandu lori balak tetapi turut membabitkan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, pemandu lori balak perlu mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang masalah ketika membawa muatan balak.

Tambahnya, sepanjang pemeriksaan dan pemerhatian, masih lagi terdapat pemandu lori balak yang bersikap degil dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

"Justeru, pihak kita akan terus mengadakan operasi bersepadu dengan JPJ dalam usaha mengesan pemandu lori balak yang tidak mengikut peraturan ditetapkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, poster turut diedarkan kepada balai pemeriksaan hutan berkaitan panduan muatan dan pengangkutan kayu balak serta tatacara bagi pengeluaran kayu jaras, sisa kayu dan kayu api yang perlu dipatuhi terutama oleh pemandu lori balak.