SHAH ALAM - Golongan muda dalam parti politik negara perlu berhadapan dengan ego ‘naga-naga tua’ yang berada dalam organisasi masing-masing bagi membolehkan mereka mengetengahkan idea yang lebih baik untuk negara.
Penulis dan wartawan, Eddin Khoo berkata, politik negara ketika ini dilihat sangat terjebak dengan kemelut ego antara pemimpin politik yang disifatkannya sebagai ‘naga-naga tua’.
Menurutnya, meskipun beliau yakin dengan kepintaran dan kebijaksanaan pemimpin politik muda negara, namun mereka dilihat akan berhadapan dengan kesukaran apabila berada dalam kerangka parti politik yang hanya mementingkan soal keangkuhan.
"Kalau saya dengar kedua-dua hujah ahli Parlimen hari ini yang boleh dikatakan sebagai golongan muda, ia menyakinkan tetapi saya rasa dalam kerangka parti politik masing-masing, mereka harus bersemuka dengan naga-naga tua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program bual bicara bersama Astro Awani pada Rabu yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Mengambil contoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen pada Rabu, Eddin berkata, terdapat isu besar dan radikal yang dibahaskan seperti perbincangan untuk tidak mengkategorikan bunuh diri sebagai perbuatan jenayah.
"Ini adalah satu perubahan paradigma yang besar dalam budaya atau pendekatan agama apabila kita cuba memahami fenomena bunuh diri ini dari segi psikologi, ekonomi, sosiologi dan sebagainya dan tidak hanya mengikut tradisi.
"Kita harus membuka ruang untuk satu masa hadapan yang radikal. Saya tidak merujuk kepada politik radikal tetapi buah fikiran dan perbincangan yang benar-benar radikal,” ujarnya.