KOTA BHARU - Sebanyak 1.12 juta kotak nasi berlauk bernilai RM4.5 juta diberikan secara percuma oleh Yayasan Usahawan Sosial Malaysia (MSEF) kepada rakyat terjejas Covid-19 di seluruh negara ini bermula pada Khamis.
Timbalan Pengerusi MSEF, Datuk Chan Wah Kiang berkata, sejumlah RM3 juta dana diperuntukkan oleh MSEF manakala selebihnya diperoleh daripada sumbangan pelbagai pihak menerusi Program Free Meal selama sebulan dengan slogan ‘lapar dahaga sama dirasai, makan minum sama dikongsi’.
Menurutnya, sebanyak 100 restoran di seluruh negara yang terlibat dalam penyediakan makanan berupa ‘lunch box’ dan ‘dinner box’ yang akan diagihkan kepada golongan terbabit setiap hari.
"Sebagai contoh di Kelantan empat lokasi pengagihan dilakukan antaranya di Restoran Sri Chengmai di Sri Cemerlang dengan 200 bungkusan akan diberikan pada setiap hari.
"Individu yang memerlukan terutama daripada golongan B40 boleh mengambil nasi berlauk ini secara percuma dengan maksimum dua kotak setiap orang,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Agihan di hadapan Restoran Sri Chengmai dilakukan setiap hari melalui dua sesi pada jam 11.30 pagi dan 5.30 petang.
Sementara itu, Swim Him pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana terpilih untuk membantu golongan yang memerlukan ketika negara diancam pandemik Covid-19.
"Peniaga seperti kami sendiri turut terjejas pendapatan perniagaan sehingga 70 peratus namun masih ada yang lebih teruk dan perlu dibantu.
"Setiap kotak nasi bernilai RM4 dengan menu lauk ayam, daging atau ikan yang akan diselang-seli,” katanya.