SHAH ALAM - Polis menahan tujuh ahli kongsi gelap Geng 08 selepas dipercayai terlibat dalam kes pemerasan terhadap pemilik tapak pembinaan reban ayam di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor kelmarin.
Dalam tangkapan sekitar jam 3.30petang itu, suspek berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan di kawasan Telok Panglima Garang menerusi Op Cantas Khas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, insiden pemerasan itu berlaku pada 11 Februari lalu dan bertindak hasil maklumat awam serta risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah, Kontinjen Selangor melakukan serbuan berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan polis, modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan tapak-tapak pembinaan bagi tujuan mendapatkan wang perlindungan.
"Jika pemilik atau pengurus tapak pembinaan enggan membayar wang perlindungan, kumpulan ini akan bertindak melakukan samun di tapak-tapak pembinaan yang disasarkan bagi tujuan mendesak mangsa yang enggan menuruti kehendak mereka sehinggalah mangsa terpaksa mengambil 'khidmat keselamatan' dan membayar wang perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadzil berkata, siasatan lanjut juga mendapati kumpulan ini dipercayai melakukan beberapa kes pemerasan dan samun di tapak-tapak pembinaan di sekitar daerah Sepang, Petaling Jaya dan Serdang.
"Semua suspek reman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari hingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendatangkan cedera ketika melakukan samun yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pemerasan yang dilakukan kumpulan kongsi gelap menerusi hotline polis Selangor di talian 017-2847611.
"Kerjasama daripada masyarakat amatlah signifikan dan berupaya memberi impak yang positif kepada keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya lagi.