KUALA LUMPUR – Pusat barangan keperluan ibu dan bayi terbesar di Malaysia, Manjaku Baby Mall melalui kempen Infaq Rezeki telah menaja barangan keperluan bayi dan kanak-kanak bernilai RM190,000 kepada golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Kempen itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta beberapa organisasi seperti sumbangan.com (Gerbang Sumbangan Sdn Bhd), Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM), Icon Production Sdn Bhd dan Satria Intelligence Agency Sdn Bhd.
Pengarah Eksekutif Manjaku Baby Mall, Lee Chee Liang berkata, ujian pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan.
Beliau berkata, Manjaku Baby Mall telah berkolaboratif bersama Unit Kebajikan PPIM untuk menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan bayi dan kanak-kanak seperti lampin pakai buang, susu bayi, pembasmi kuman, makanan bayi dan juga pelitup muka.
"Kesemua sumbangan ini adalah hasil usaha bersama daripada rakan seperniagaan Manjaku Baby Mall. Kami berharap dengan kerjasama ini dapat membantu serba sedikit kepada yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang mereka terima, ramai penerima manfaat yang mempunyai anak kecil memerlukan bantuan susu dan lampin pakai buang bagi anak-anak kecil ini kerana rata-rata telah hilang punca pendapatan.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ada di antara anak-anak kecil ini diberikan air kosong, sirap dan teh bagi menggantikan susu.
"Sangat menyedihkan, ia akan mengakibatkan anak-anak ini tidak mendapatkan keperluan khasiat yang secukupnya, mereka merupakan golongan asnaf dan B40 yang sangat terkesan ketika kita semua berhadapan pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, dana bagi gerak kerja ini dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai (crowdfunding) menggunakan platform dalam talian iaitu sumbangan.com dan setakat ini lebih 100,000 penerima telah menerima manfaat ini.