KOTA TINGGI - Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Proton Persona yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Telujuk, Felda Air Tawar 3, dekat sini pada Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata, semasa kejadian wanita berkenaan, Nurul Ain Shamira Shherif, 22, dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasar Borong Song Seng di sini.
Iklan
Iklan
Pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 7.37 pagi sebelum 11 anggota dari BBP Kota Tinggi bergegas ke lokasi kejadian.
"Mangsa dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba dan hanya mengalami luka kecil di bahagian tangan dan kaki.
"Anggota bomba mengangkat mangsa dan diserahkan kepada pasukan perubatan dari Air Tawar 2 di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, operasi yang melibatkan satu jentera FRT, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera FRV itu tamat pada jam 8.18 pagi.
Artikel Berkaitan