GEORGETOWN - Pasar Batu Lanchang diarahkan tutup bermula Khamis selepas tujuh peniaga dan pekerja di situ disahkan positif Covid-19.
Perintah penutupan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut Sub-Seksyen 18 (1) (f) Akta Tindakan dan Kawalan Pencegahan Penyakit 1988.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan pada Khamis berkata, penutupan tersebut melibatkan 180 gerai yang beroperasi di pasar berkenaan.
"Pasar Batu Lanchang akan ditutup bermula jam 5 petang ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
"Penutupan pasar tersebut bagi membolehkan kerja sanitasi dan tindakan lain yang perlu dijalankan," katanya.
Menurut kenyataan itu, 68 individu dikategorikan sebagai 'berisiko tinggi' apabila mereka didapati mengunjungi pasar berkenaan pada Ahad lalu.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Datin Dr Azizah Ab Manan berkata, pihaknya sedang menyiasat punca jangkitan Covid-19 di pasar tersebut.
"Dengan notis penutupan, kami akan dapat menyiasat punca jangkitan ini dengan lebih lanjut.
"Setelah siasatan selesai dan disahkan tiada kes baharu, kita akan membuka semula pasar ini. Mungkin ia akan mengambil masa dalam beberapa hari," katanya ketika ditemui di Pasar Batu Lanchang, di sini.
Sebelum ini, Pasar Awam Jalan Perak turut diarahkan tutup selepas peniaga di situ dilaporkan positif Covid-19, namun dibenarkan beroperasi semula pada Jumaat lalu.
Selain pasar itu, Pasar Jelutong dan Pasar Bukit Mertajam juga diarahkan tutup selepas kes positif dalam kalangan peniaga dilaporkan.
Terbaharu, pada 20 Jun lalu, Pasar Awam Chai Leng Park diarahkan tutup segera selepas 11 kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan peniaga di situ.