KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga Isnin depan berikutan terdapat dua lagi kes positif Covid-19 yang dikesan hasil ujian saringan di Parlimen pada Khamis.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan perkara tersebut pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Khamis.
"Mereka yang hadir sejak Isnin lepas, tapi tidak ada hari ini, perlu jalani ujian di klinik berdekatan.
"Sehubungan itu, saya tempohkan (tangguh) Mesyuarat Khas pada Isnin hadapan" katanya.
Pengumuman itu menjadikan suasana Dewan bertukar kecoh kerana rata-rata ahli parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan penangguhan tersebut.
Dewan Rakyat sebelum itu ditangguhkan pada penghujung sesi pagi, pada awalnya bagi perbincangan berhubung desakan perbahasan isu penamatan Ordinan Darurat susulan pendedahan Istana Negara bahawa kerajaan bertindak mengelirukan Dewan.
Bagaimanapun persidangan yang sepatutnya disambung bagi sebelah petang, sekali lagi ditangguhkan apabila semua ahli parlimen diarahkan menjalani ujian saringan setelah dua kes positif di kesan sejak Isnin.
Perkembangan itu menjadikan sidang Dewan Rakyat pada Khamis berakhir tanpa perbahasan pada sesi sebelah petang dan penggulungan daripada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.