KUANTAN - Suspek yang disyaki melarikan cincin berlian RM2.89 juta dari sebuah kedai emas di Genting Highlands, Ahad lalu dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek warga asing berusia dalam lingkungan 50-an itu keluar dari negara ini pada hari sama dipercayai ke Vietnam.
Menurutnya, identiti suspek berjaya dikenal pasti berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
"Kita dapati, berdasarkan rakaman yang diperoleh, jelas menunjukkan suspek menukar cincin berlian itu dengan yang palsu selepas diserahkan jurujual untuk diteliti selepas berhasrat membelinya.
"Semasa kejadian, terdapat tiga pekerja dan tiga pelanggan dalam premis tersebut,”katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Cincin RM2.89 juta lesap dikebas ‘pelanggan’
Mohd Wazir berkata, pihaknya turut dimaklumkan oleh pekerja kedai bahawa suspek pernah datang untuk melihat cincin yang sama sebulan yang lalu.
"Kita tidak menolak kemungkinan suspek sudah ada perancangan untuk perbuatan jenayahnya itu,”katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, suspek memperdaya jurujual kedai emas berkenaan dengan menyamar sebagai pelanggan.
Suspek meminta jurujual yang juga pengadu dalam kes itu menunjukkan cincin berlian jenis ruby seberat lima karat itu untuk diteliti sebelum membelinya.
Ketika cincin itu berada di tangannya, suspek sempat menukarnya dengan cincin palsu sebelum menyerahkan kembali kepada pengadu kononnya tidak jadi membeli lalu beredar keluar.