SHAH ALAM - Pemuda UMNO Selangor menyokong pandangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan berikutan kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung isu Proklamasi Darurat.
Ketuanya, Datuk Rizam Ismail berkata, tuntuan itu berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, menerusi kenyataan media Istana Negara itu juga mendedahkan kerajaan dengan sengaja telah ingkar dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong.
"Seri Paduka Baginda jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan medianya pada Khamis.
Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkata, pihaknya mendesak Muhyiddin segera meletak jawatan kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai sebuah parti yang kukuh dalam menjadi benteng utama membela institusi Raja-Raja Melayu serta kedaulatan negara, maka desakan pemecatan perdana menteri ini harus dilakukan demi mempertahankan kedaulatan Perlembagaan Malaysia dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Artikel Berkaitan