Amang seksual: Pembantu kedai dijel 3 tahun, satu sebatan

Iklan
Tertuduh dipenjara tiga tahun dan satu sebatan selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 15 tahun pada Ogos 2019

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada Ogos 2019.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Aiman Zulhasnan Aminuddin yang berusia 20 tahun di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi pertuduhan terbabit.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus kira-kira jam 5 petang pada Ogos 2019.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh seterusnya dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan satu sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah menerima permohonan tertuduh menerusi peguambelanya, Othman Bakar agar hukuman penjara ditangguhkan dengan jaminan sebanyak RM22,000.

Iklan

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin