KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet meletak jawatan.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa Muhyiddin berbohong kepada Parlimen berkenaan pembatalan Ordinan Darurat,
"Beliau tahu tiada kuasa untuk membatalkan ordinan itu tetapi tetap membuat pengumuman sedangkan kuasa itu hanya berada di tangan Yang di-Pertuan Agong semasa darurat.
"Walaupun Muhyiddin tidak mengumumkan pembatalan pada 26 Julai lalu dan ia dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Muhyiddin tidak boleh lepas tangan.
"Muhyiddin juga tidak membuat penjelasan pada hari-hari berikutnya. Muhyiddin dan anggota kabinet yang lain bertanggungjawab atas tindakan memalukan ini," katanya.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lepas tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.