Warga emas lemas, jatuh bot ketika memancing

Iklan
Mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

TELUK INTAN - Seorang warga emas ditemui lemas selepas terjatuh dari bot ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Perak berhampiran Pulau Bangau dekat sini pada Khamis.

Mayat Teoh Har Soon, 63, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat sekitar jam 1.40 petang iaitu kira-kira empat jam selepas dia dilaporkan hilang.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Menurutnya, pasukan penyelamat yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.43 pagi membuat pencarian dengan kaedah surface searching menggunakan bot sehingga mangsa berjaya timbul di permukaan air.

Iklan

"Mayat lelaki terbabit timbul di permukaan sungai dengan kedalaman dua meter dalam tempoh sejam.

"Anggota kemudiannya membantu membawa mangsa naik ke tebing dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Iklan

Beliau berkata, operasi mencari mangsa disertai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bersama enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Operasi yang turut dibantu 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan Langkap itu ditamatkan pada jam 2.50 petang," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki terbabit.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.