PENYANDANG juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum memikirkan soal kejuaraan Liga Super musim ini sekalipun sudah mula menjarakkan diri dengan pencabar terdekat, Terengganu FC (TFC).
Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, perjalanan Harimau Selatan masih jauh bagi memburu kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut musim ini.
"Ya... sejak perlawanan pertama lagi kami bertekad untuk mengekalkan kejuaraan musim ini. Malah, (jurang) enam mata ini merupakan satu kelebihan yang positif buat kami dalam mengharungi baki saingan liga.
"Namun, perjalanan liga masih lagi jauh dan kami tidak tahu berkemungkinan akan ada kejutan daripada pasukan lain walaupun pasukan itu berada di kedudukan bawah liga.
"Kami menyedari situasi ini, jadi kami akan lebih berhati-hati dengan memberi fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Apapun tiga mata malam ini (Rabu) penting kerana ia memberi keyakinan kepada pemain,” katanya.
JDT terus mengekalkan momentum positif apabila menundukkan seteru utama Selangor FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, pada Rabu.
Kemenangan ke-11 yang diraih itu membolehkan JDT melebarkan kedudukan di persada Liga Super dengan kelebihan enam mata di depan TFC yang tewas 0-2 kepada Melaka United FC di Stadium Hang Jebat.
Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel pula menganggap kegagalan anak-anak buahnya menyudahkan beberapa peluang terutama pada babak kedua menjadi antara punca Red Giants gagal meraih keputusan positif.
"Kami perlukan mata dan persembahan yang baik. Tetapi kami perlu tingkatkan hantaran terakhir, penyudah dan juga transisi dalam permainan.
"Kami perlu bekerja lebih keras dan akan kehilangan beberapa pemain untuk perlawanan seterusnya kerana kad kuning dan masalah kecederaan.
"Sekarang tempoh yang sukar bagi kami, tapi kami akan hadapi cabaran itu. Kami perlu lakukan proses pemulihan dengan baik dan saya akan lihat beberapa pemain daripada pasukan kedua,” ujarnya.