KUALA LUMPUR - Pelaksanaan inisiatif vaksinasi Covid-19 tanpa janji temu yang akan bermula pada lusa di Kuala Lumpur dan Selangor khusus untuk golongan yang berdepan halangan dalam menerima suntikan vaksin, dijangka dapat menangani isu pemvaksinan warga asing tanpa dokumen sah dan pelarian di negara ini.
Pemvaksinan golongan itu dilihat oleh banyak pihak sebagai antara aspek penting dalam memastikan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengawal penularan Covid-19 yang kini membebankan ekonomi negara dan juga sistem penjagaan kesihatan yang dilaporkan semakin kritikal.
Pada masa ini, Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar pemvaksinan terpantas di dunia - 1.35 dos bagi setiap 100 orang - dan vaksinasi tanpa janji temu diyakini dapat meningkatkan lagi kadar itu bersandarkan kejayaan inisiatif serupa"jab first, register later” atau"suntik dahulu, daftar kemudian” di Kapit, Sarawak.
Aktivis dan pemimpin komuniti imigran di negara ini menyifatkan inisiatif tersebut dapat membantu rakyat negara mereka yang memasuki Malaysia secara sah dan mempunyai permit kerja, namun atas sebab-sebab tertentu tidak dapat mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, iaitu antara medium yang digunakan kerajaan bagi menyertai PICK, menerima vaksin.
Pemimpin komuniti Filipina, Liezl (bukan nama sebenar) antara yang meluahkan kelegaan itu, dan berkata langkah tersebut dapat memastikan warga asing yang pasport mereka telah tamat tempoh dan masih belum dapat memperbaharuinya, divaksinasi.
Bagaimanapun ada pihak yang melahirkan kebimbangan inisiatif tersebut tidak akan dapat mencapai sepenuhnya matlamat yang ditetapkan kerana kebanyakan warga asing, khususnya yang tiada dokumen perjalanan yang sah, berasa curiga untuk datang ke pusat pemberian vaksin (PPV), takut ditangkap dan dihantar ke pusat tahanan.
Menurut mereka, kerajaan perlu menterjemahkan secara lebih terperinci akan jaminan yang diberikan sebelum ini bahawa warga asing tanpa dokumen sah serta pelarian tidak akan ditangkap ketika hadir di PPV.
Pada Ahad lepas, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin semasa mengumumkan tentang garis panduan vaksinasi untuk warga asing dan pelarian, berkata pemvaksinan akan dilakukan oleh badan bukan kerajaan bagi meyakinkan golongan tersebut yang mereka tidak akan ditangkap.
Perkara itu turut dijamin oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud yang memberitahu Bernama bahawa"Imigresen tidak akan mengganggu program vaksinasi bagi warga asing mahupun menempatkan pegawainya berhampiran PPV”.
Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata, inisiatif vaksinasi tanpa janji temu untuk kelompok itu boleh berjalan lancar sekiranya arahan pihak atasan sampai kepada kumpulan dan mereka yang bertanggungjawab melaksanakan pemvaksinan.
Bagaimanapun yang menjadi masalah ialah apabila dasar kerajaan gagal diterjemahkan oleh mereka yang bertanggung jawab di akar umbi, katanya, menambah pendatang tanpa izin dan pelarian hanya akan berasa yakin selepas melihat sendiri janji itu dikotakan.
Sementara itu, pakar dan aktivis juga menyarankan kerajaan melaksanakan langkah lain bagi melibatkan warga asing tanpa dokumen sah dan pelarian dalam PICK, seperti pandu lalu, vaksinasi dari rumah ke rumah dan unit PPV bergerak yang pada masa ini hanya dilaksanakan untuk penduduk warganegara.
Dr Faizal berkata, kerajaan juga tidak seharusnya menunggu hingga fasa empat PICK untuk melibatkan golongan itu yang disifatkannya berpotensi menjadi"lubuk” penularan virus.
Warga asing merangkumi kira-kira 10 peratus daripada populasi negara ini, namun statistik jangkitan COVID-19 setakat ini menunjukkan 20 peratus daripada kes yang dicatatkan adalah golongan tersebut.
Menurut Kementerian Sumber Manusia, terdapat kira-kira 1.7 juta pekerja asing di Malaysia pada 2020, sementara Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran mengunjurkan tambahan dua hingga empat juta lagi warga asing tanpa dokumen sah di negara ini pada 2018.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian pula melaporkan ada lebih 179,000 pelarian di Malaysia setakat Jun tahun ini.
Pengasas dan Pengarah Our Journey, Sumitha Shaanthinni Kishna Sumitha berkata, pihaknya bercadang menyediakan unit PPV bergerak memandangkan ramai pekerja asing mungkin enggan hadir di PPV.
"Bagi warga asing tanpa dokumen, pengalaman lepas menyebabkan mereka sangat keberatan untuk ke premis fasiliti kerajaan, contohnya hospital. Mereka masih takut (dilaporkan ke Jabatan Imigresen),” katanya.
Di sebalik kebimbangan itu, ada warga asing tanpa izin yang sanggup mengambil risiko asalkan mereka dapat menerima suntikan vaksin secepat mungkin.
Antaranya warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Surya yang berkata pengalamannya menerima suntikan vaksin AstraZeneca yang diperoleh menerusi program sukarela sebelum ini, mendorongnya menggalakkan rakan senegara mengambil vaksin secepat mungkin.
"Saya beritahu mereka agar terima suntikan vaksin untuk lindungi diri mereka dan juga orang lain. Jika kita sudah divaksinasi, kita tidak akan berasa begitu takut (dijangkiti). Betul, hidup dan mati ditentukan oleh Tuhan, namun kita juga harus berusaha untuk melindungi diri kita,” katanya yang memberitahu tidak mengalami sebarang kesan sampingan vaksinasi. - Bernama