KUALA LUMPUR - Dua buah premis sekitar Jalan Raja Alang yang dikendalikan oleh warga asing dikenakan tindakan penutupan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu operasi yang dilaksanakan di sini, pada Khamis.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, DBKL berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, pihaknya turut mengambil tindakan sitaan dan memindahkan aktiviti perniagaan itu yang melanggar undang-undang ditetapkan serta dikendalikan oleh warga Indonesia.
Katanya, tindakan sitaan itu melibatkan 350 barangan makanan dan peralatan perniagaan seperti gerai beroda, rokok seludup, bateri, selipar dan lain-lain lagi.
"Tindakan diambil di bawah Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976; Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1); UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK 20 (1) (b)," kata kemas kini itu, pada Jumaat.
Dalam pada itu, DBKL berkata, semua barangan sitaan berkenaan telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras.
Tambahnya, tindakan itu akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang DBKL.
"Warga kota juga diminta untuk terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada DBKL secara dalam talian ke adukl.dbkl.gov.my," katanya.