KONSERT jelajah Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, Khamis lalu berjalan dengan penuh jayanya dan masih lagi diperkatakan ramai.
Namun seperti biasa, tidak semua sempurna di mata peminat penyanyi nombor satu negara ini.
Antara yang menjadi pertikaian adalah busana yang digayakan penyanyi berusia 40 tahun ini, disifatkan sebagai agak ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan levelnya sebagai bintang dikenali ramai.
Bagi empunya diri, dia tidak melihat busana yang digayakan itu sebagai satu masalah dan lebih mengutamakan keselesaan di atas pentas.
"Setiap orang ada pandangan yang berbeza dan saya adalah alasan tersendiri mengapa memilih busana itu.
"Apa yang penting saya selesa... Buat apa pakai baju yang ketat tapi tiada keyakinan untuk menyanyi dengan baik?" jelasnya ketika ditemui pada majlis perlancaran Vivo V15 dan V15 Pro di Sunway Pyramid, semalam.
Tambah Siti, selepas persembahan di Jakarta, dia kini dalam proses persediaan dan menambah baik untuk konsert di Singapura yang akan berlangsung Sabtu ini.
"Saya mengambil setiap komen yang diberikan dan akan membuat penambahbaikkan untuk konsert di Singapura.
"Ini termasuklah lagu dan busana yang berbeza, baik untuk konsert Sabtu ini dan konsert di Kuala Lumpur 16 Mac," katanya.