KUFC ambil tindakan tegas ke atas Gassama, Muhammad Asraff

Iklan

KELANTAN United (KUFC) mengambil tindakan tegas ke atas dua pemainnya iaitu Gassama Alfusainey dan Muhammad Asraff Alifuddin Yasin, dengan bertindak menghantar mereka pulang ke Kota Bharu serta-merta selepas tamat perlawanan Liga Premier di Ipoh, Perak, Rabu lalu (28 Julai).

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, KUFC berkata, tindakan itu susulan kedua-dua pemain tersebut terlibat dalam pergaduhan, sehingga dikenakan kad merah pada pertemuan menentang Perak FC II di Stadium Perak, Ipoh.

Iklan
Iklan

Menurut KUFC kedua-dua pemain itu juga tidak akan menyertai pasukan untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT II), Ahad ini.

"Muhammad Asraff Aifuddin dilayang kad merah setelah bertindak menumbuk pemain tuan rumah Adam Nadzmi Zamri, ketika aksi melepasi minit ke-75 sehingga mencetuskan ketegangan pemain kedua-dua pasukan.

Iklan

"Sementara itu Gassama terbabit dalam insiden pergaduhan dengan rakan sepasukan Zafuan Azeman, sejurus wisel penamat dan pemain import dari Gambia itu turut dikenakan kad merah oleh pengadil Mohd Sharif Tahir. KUFC tidak akan berkompromi berkaitan perlanggaran disiplin jurulatih, pegawai atau pemain, dengan membelakangi semangat kesukanan,” katanya.

Pada perlawanan itu KUFC menewaskan Perak FC ll 4-0, menerusi dua jaringan oleh Gassama Alfusainey dan masing-masing satu gol sumbangan oleh Syahrul Azwari dan Qayyum Marjoni.

Iklan

KUFC berkata, pihaknya akan menyiasat dengan segera dua insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas, jika pemain yang terlibat didapati melanggar prinsip ‘Fair Play’.

"Oleh kerana pihak kelab dan pasukan kini sedang memberi fokus kepada perlawanan ketiga dalam masa tujuh hari di laman lawan menentang JDT II, siasatan penuh insiden dan tindakan yang akan diambil kepada pemain bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang pada masa akan datang, seterusnya memburukkan nama pasukan akan dilakukan sekembali ke Kota Bharu,” katanya.

Pada masa sama, KUFC memohon maaf atas tindakan tidak profesional pemain, sehingga menerbitkan rasa tidak gembira penyokong dan peminat bola sepak Kelantan.

"Pihak kami berjanji akan menangani insiden ini dengan langkah terbaik untuk mengelakkan daripada berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya. - Bernama