PERDANA Menteri Pakistan, Imran Khan menafikan satu laporan mendakwa pejuang tenteranya merentas sempadan ke negara jiran untuk membantu puak Taliban menentang kerajaan Afghanistan.
Jelasnya, Pakistan sudah lama menderita sejak perang melibatkan Amerika Syarikat dan Afghanistan selama 20 tahun lalu.
Katanya, Pakistan tidak lagi mempunyai keupayaan untuk terlibat dalam perang sama ada di sempadan atau keganasan dalam negara.
"Kami tidak lagi mampu untuk memerangi keganasan di dalam negara.
"Ketika kami berada di puncak menentang keganasan, puluhan bom telah meletus di beberapa tempat seuruh negara.
"Akibat itu, banyak perniagaan terpaksa ditutup, begitu juga sektor pelancongan.
"Jadi ini yang menyebabkan kita tidak mahu berada dalam konflik lagi," katanya.
Imran Khan berkata, Pakistan tidak akan membenarkan Amerika Syarikat mendirikan pangkalan di negaranya untuk melakukan kerja risikan atau menjalankan operasi pemberontakan.
Beliau menambah, pendekatan Islamabad kini adalah terus menggesa puak Taliban untuk berunding dengan Amerika Syarikat bagi mengakhiri konflik di Afghanistan. - Sumber Awani