JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei percaya, kejayaan Olimpik pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, bukannya hilang tapi hanya ditangguh.
Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali berturut-turut itu berpendapat, dari segi tenaga, kepantasan dan teknik, Zii Jia dapat mengatasi Chen Long pada aksi pusingan 16 terbaik malam tadi.
Namun, cemas pada saat-saat penting mungkin menjadi sebab Juara All England 2021 itu, tewas 21-8, 19-21, 5-21 kepada juara bertahan Olimpik dari China itu.
"Lee Zii Jia, usah kecewa sangat. Ia satu prestasi yang amat baik. Satu Malaysia tahu anda telah cuba sedaya upaya. Saya bangga pada anda. Malaysia bangga pada anda.
"Dibekalkan lebih pengalaman nanti, Chen Long pastinya sekadar lubuk untuk lu. Bai, Chen Long bukan calang-calang juara bertahan. Muka jer ‘innocent’ tapi mamat itu memang ligat otak dalam penafsiran taktik pihak lawan.
"Olimpik pertama kot, siapalah tak cemas? Permainan Chong Wei masa Olimpik yang pertama (2004) pun tak kemas. Yang penting, dongakkan dagu teruskan usaha. Olimpik selepas ini, tiga tahun saja. Kejayaan anda bukanlah hilang, tetapi hanya di ‘tangguh’ kan,” katanya menerusi entri terbaharu di Facebooknya.
Chong Wei, dinafikan pingat emas Olimpik sebanyak tiga kali oleh pemain China, apabila tewas di tangan seteru utamanya, Lin Dan pada edisi Beijing 2008 dan London 2012, manakala kalah kepada Chen Long di Rio 2016.
Bekas pemain nombor satu dunia itu yang juga merupakan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Tokyo 2020, turut berjenaka dengan mencadangkan Zii Jia untuk mencari tempat latihan di Melaka.
"Dengar kata training kat situ boleh dapat emas Olimpik,” katanya merujuk kepada sensasi angkat berat, Hidilyn Diaz, yang merangkul pingat emas pertama Filipina di Olimpik beberapa hari lalu, selepas berlatih di Melaka sejak tahun lalu.
Sementara itu, bekas pemain beregu negara Koo Kien Keat menerusi media sosialnya, turut memberikan motivasi kepada Zii Jia untuk terus menyinar di Olimpik Paris 2024.
"Lee Zii Jia baru 23 tahun, karier badmintonnya masih panjang, kekalahan ini hanyalah satu permulaan. Bermain menentang Cheng Long tidak pernah seuatu yang mudah, sebab itulah Chen Long satu-satunya juara bertahan di Olimpik Tokyo.
"Kita boleh lihat peningkatan yang banyak dari permainan Zii Jia, fizikal dan kekuatan, cuma kekurangan pengalaman kejohanan besar. Tahniah kepada Lee Zii Jia untuk prestasi keseluruhan dan jurulatih Hendawan juga,” katanya yang pernah membentuk gandingan mantap bersama Tan Boon Heong. - Bernama