SEMENYIH - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian situasi yang dihadapi seorang warga emas di Kampung Batu 26, Beranang di sini apabila ditanya mengenai keadaan hidupnya ketika ini.
Menurut Fatimah Taib, 68, dia bagaimanapun akur dengan ketentuan ilahi meskipun terpaksa menjual nasi lemak pada usia senja bagi menampung perbelanjaan perubatan suaminya, Mansor Mahmud, 70, yang terlantar akibat serangan angin ahmar serta terlibat dalam kemalangan setahun lalu.
Malah, anak yang merupakan seorang ibu tunggal pula terpaksa berhenti kerja bagi menguruskan kehidupan mereka sekeluarga selain membantunya menjual nasi lemak.
"Saya sendiri sudah berusia. Mahu atau tidak saya gagahkan juga bekerja untuk menampung kehidupan kami sekeluarga termasuklah suami saya yang uzur.
"Setiap enam bulan sekali saya dan anak perlu membawa suami saya ke hospital bagi pemeriksaan.
"Nak pergi hospital itu terpaksa keluar belanja juga untuk rawatan suami saya yang bergantung kepada ubat-ubatan tertentu termasuk susu khas bagi menggantikan makanannya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu Fatimah menerima kunjungan daripada Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Sosial Briged Aman Malaysia, Azhari Yusof yang turut menyalurkan sumbangan kewangan bagi meringankan beban keluarganya.
Dalam perkembangan lain, harapan yang sama turut diluahkan Che Wan Nan Tau, 69, yang ketika ini menjaga suaminya, Mohd. Ariffin Mohd. Yasin, 75, tidak mampu bergerak dengan sempurna akibat serangan angin ahmar.
Katanya, dia sendiri turut mengalami ketumbuhan dalam kepala selain menerima rawatan secara berkala di hospital selain mempunyai masalah tulang belakang bengkok.
"Alhamdulillah saya masih lagi kuat, saya jaga suami saya ini yang terpaksa menggunakan alat bantuan untuk berjalan," ujarnya yang turut memberitahu bahawa suaminya itu seorang pesara tentera.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga Fatimah dan Che Wan boleh menghubungi Ketua Kampung Indah PKNS, Batu 26, Zambri Mohd. Nor di talian 011-35657153 untuk maklumat lanjut.