KUANTAN - Api terus merebak sehingga tepi Jalan Qinzhou di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini, hari ini.
Turut kelihatan asap tebal menyelubungi kawasan persekitaran yang menjejaskan penglihatan pengguna jalan raya meskipun dalam jarak dekat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, kebakaran yang bermula Isnin lalu itu kini merebak kira-kira 20 hektar lagi menjadikan keseluruhan kawasan terbakar sekitar 60 hektar.
"Hari ketiga beroperasi, sebelum ini tumpuan utama JBPM adalah untuk mengawal api dari merebak keluar melangkaui radius 250 ekar kawasan utama kebakaran.
"Namun demikian sekitar jam 7 malam tadi berlaku angin kencang yang mengakibatkan api cepat merebak hingga melangkaui kawasan lain. Kita bertindak pantas menggerakkan anggota ke kawasan tersebut dan alhamdulillah kebakaran berjaya dikawal.
"Hari ini kita telah menggunakan dua pam berkapasiti tinggi yang mana satu daripadanya dengan bantuan JBPM Terengganu bagi meningkatkan paras air. Pada masa ini usaha melakukan tindakan pembanjiran menyeluruh sedang giat dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi tersebut, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 40 hektar hutan kawasan perindustrian Gebeng terbakar
Hadir sama, Ketua Zon I, JBPM Pahang, Nor Ariffin Kamari.
Nor Hisham berkata, kejadian kebakaran kawasan perindustrian ini merebak dengan cepat khususnya pada waktu malam dan lewat petang kerana keadaan cuaca dan pergerakan angin yang sukar dijangka.
"Tujuan menggunakan dua pam berkapasiti tinggi ini adalah menumpukan usaha meningkatkan paras air bagi mengepung kawasan kebakaran kecuali kawasan berbukit.
"Selepas itu kita akan buat pantauan menggunakan dron dan kemungkinan juga akan mendapatkan perkhidmatan Unit Udara Bomba dan Penyelamat dalam masa terdekat," katanya.
Polis turut berkawal di beberapa jalan berhampiran kebakaran.