SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menganggap kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri berhubung pembatalan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai angkuh.
Dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat, Majlis Presiden PH itu berkata, tindakan tersebut ibarat menegakkan benang yang basah dan tidak menghormati sistem Raja Berperlembagaan dengan mempertikai titah Seri Paduka Baginda.
Kenyataan itu turut menyebut perkara utama membabitkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai mengenai pembatalan Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai.
"Kenyataan Istana Negara semalam jelas menyatakan Seri Paduka Baginda belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut dan Takiyuddin mengelirukan ahli Dewan Rakyat,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Kenyataan bersama itu membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen pada 26 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH itu berkata, pemerintah yang hilang jalinan hubungan baik dan tidak taat kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin bertahan.
"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan seluruh kabinet telah hilang keabsahan kerana hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan kelayakan serta kewibawaan sebagai pemimpin apabila Perdana Menteri dan menteri gagal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahas dan diputuskan di Parlimen.
"Peguam Negara juga gagal menjalankan tugas rasmi memberi nasihat perundangan kepada Seri Paduka Baginda secara neutral dan bebas tanpa memihak kepada Perdana Menteri.
"Sepanjang sidang khas Parlimen ini, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga telah mempertahankan hak kerajaan PN untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas Ordinan Darurat untuk dibatalkan,” jelasnya.
Tambahnya, Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara mesti meletak jawatan secara terhormat atas kesalahan besar itu.