KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menafikan dakwaan tular di Facebook kononnya bantuan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) terlalu lewat diagihkan di Parlimen berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengambil sedikit masa untuk membuat saringan penerima bagi memastikan bantuan itu sampai kepada golongan yang memerlukan dan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Cabaran pasukan saya adalah untuk memastikan kita dapat akses maklumat mereka yang terjejas ini dapat dibantu dan segala perbelanjaan bakul makanan ini dibuat secara telus.
"Selain itu, cabaran saya di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ini adalah memastikan tidak ada rakyat tercicir khususnya golongan terjejas akibat PKP," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Bakul Makanan Peringkat Parlimen Kuala Selangor di Balai Raya Pasir Tuntong di sini pada Jumaat.
Dr Dzulkefly berkata, keutamaan bantuan itu bukan lagi tertumpu kepada mereka yang tersenarai sebagai penerima bantuan tetap, sebaliknya dalam keadaan pandamik ini semua isi rumah yang terjejas wajar dibantu.
"Keutamaan program bantuan bakul makanan ini adalah golongan terjejas teruk seperti peniaga, individu kehilangan kerja dan pendapatan merosot," katanya.
Justeru, tegas beliau, Pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor menetapkan Penilaian Prestasi Kerja (KPI) perbelanjaan yang dikeluarkan kepada rakyat di Parlimen itu diagihkan secara saksama dan tidak wujud ketirisan.
Selain itu, beliau berkata, pada setiap minggu pihaknya secara berterusan mengagihkan bantuan kepada rakyat di Parlimen Kuala Selangor dengan puluhan ribu ringgit sudah dibelanjakan bagi menyantuni rakyat di Parlimen berkenaan.
"Kalau tengok Facebook Pejabat Parlimen Kuala Selangor, kami tiga atau empat kali seminggu pasti turun padang dan bergerak memberi khidmat kepada mereka memerlukan.
"Kita boleh dedahkan angka (penerima bantuan) ini sebab dalam hal ini kita mahukan ketulusan kerana saya mahu rakyat menilai berdasarkan prestasi kami," ujarnya.
Sebelum ini tular di Facebook yang membandingkan pengagihan bantuan bakul makanan di Parlimen Kuala Selangor berikutan pengagihan bantuan itu lewat berbanding di Parlimen lain.