Kencing manis ketika hamil boleh akibatkan kematian bayi

Iklan
Dr Sai Sudha Ram Moorthi

SHAH ALAM - Penyakit kencing manis ketika mengandung atau secara saintifiknya Gestational Diabetes Mellitus (GDM) boleh memberi komplikasi buruk kepada bayi sehingga menyebabkan kematian dalam kandungan.

Pakar Obstektrik dan Ginekologi Hospital Pantai Ampang, Dr Sai Sudha Ram Moorthi berkata, impak tersebut boleh memudaratkan terutama kandungan yang berusia 36 atau 37 minggu.

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata, risiko yang boleh berlaku pada tiga bulan pertama ialah keguguran bayi.

"Bayi juga akan ada masalah struktur sewaktu pembentukan seperti yang berlaku dalam sistem saraf dan jantung.

Iklan

"Kandungan akan menjadi besar kerana gula tinggi atau kita panggil makrosomia sehingga apabila dilahirkan boleh mencecah lima kilogram.

"Paling besar bayi yang saya pernah sambut adalah 5.7 kilogram,” katanya di Sinar Live yang bertajuk 'Kencing Manis Ketika Mengandung' pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Sai Sudha berkata, GDM hanya berlaku sewaktu mengandung dan paras gula tersebut akan kembali normal selepas bersalin serta tidak akan memberi kesan buruk kepada mata, buah pinggang dan sistem saraf.

Beliau berkata, antara rawatan yang akan dilalui ibu mengandung ialah pengawalan diet dengan pemantauan pegawai pemakanan.

"Mereka akan diajar bagaimana mengambil makanan dengan bahagian karbohidrat, banyakkan protein serta serat dan kita pantau dengan semak darah selama empat kali sehari.

"Andainya gula tidak dapat dikawal maka kita akan berikan ubat untuk ibu mengandung seperti insulin dan metformin yang selamat untuk digunakan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rawatan yang diberikan bergantung kepada paras gula yang terkandung dalam badan ibu tersebut untuk melihat ubat yang sesuai.

"Kepada semua ibu-ibu di luar sana, jika ada masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis, asma dan sawan pastikan dikawal sebaiknya serta berbincang dengan pakar sebelum merancang kehamilan.

"Bagi yang tidak mempunyai masalah apa-apa, jangan bimbang dengan kemungkinan yang bakal berlaku kerana itu adalah sesuatu yang di luar kawalan. Apa yang kita boleh kawal adalah cara hidup kita.

"Ini kerana seorang ibu yang sihat akan memastikan bayi itu juga sihat,” katanya.